biasalah manusia ni bila disuruh melakukan kebaikan dan hindari larangan Allah mmg banyakkk alasan yg kita berikan..termasuklah diri sendiri yg menulis ni :-( renung²kannn..selamat beramal :-D
Tak Mahu Hipokrit, Akhirnya Bertambah Dosa
Oleh Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net
SOALAN  
Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya  memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya  kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai  tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik  nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang  patut.  
Sekarang saya  sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat  saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai  tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati  saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan  leher).  
Cara  pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka  bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar  ketat yang menampakkan susuk tubuh.  
Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain  yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain  belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar  tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis  pakaian dalam yang dipakainya.  
Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada.  Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya  yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk  dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang  tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai  karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian  dan tingkah laku saya.
Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus  memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana  saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan  kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.   
Semoga ALLAH membuka hati saya untuk  terus memakai tudung. Amiin...
- Diera - 
JAWAPAN  
Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam  soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-    
1)     Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa  ikhlas kerana tidak mahu hipokrit  serta tidak mahu berubah kerana  disuruh.  
Sebenarnya  isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti  berikut :- 
l        Aurat wanita apa sudah jadi?  
l        Wanita, aurat dan Kerjaya   
Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh  beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan  ulasan tambahan. 
Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita  muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung. 
Justeru, sama ada seseorang itu  ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari  hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.  
Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang  menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya  kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan  segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera  menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.
Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah  di UK.  Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak  ikhlas atau apa jua sebab luaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu  adalah sistem dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri  sendiri dan pemandu orang lain.
Sama seperti menutup aurat dan bertudung,  itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat  spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang  melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama  oleh wanita tersebut).!
Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali  menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup  aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.
Sama seperti mendirikan  solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang  lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak.  Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan  yang  diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih  gagal mencapai tahap Ikhlas.  
Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus  berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan  itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level  pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.
Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.
Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak  juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya.  Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga  spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama  dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat  mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja  ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali  tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.
Adapun bagi mereka yang tidak  ikhlas tadi, at least  dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata  lelaki.
Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas'  dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin  menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar  jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui  hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan  menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang  diharapkan .
2)    MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA  DAN BERAKHLAK BURUK.  
Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya  ulas sebelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum
Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait  ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan  keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan  memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua  hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung. 
Sebelum itu, saya perlu ingatkan  saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu  perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk  menutup aurat.
Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung  tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan  sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA  SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT. 
Justeru, adalah SALAH  bagi saudari menganggap 'rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK  AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT. 
Malah jika  mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada  mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk  menutup aurat atau tidak.
Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah  bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher , tetapi menutup  seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam  artikel ‘ Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'
Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal  agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama  dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan untuk menghentikan seseorang dari  melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.
Jelas dari hadis Nabi  s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang  lebih dari kita, agar kita terus berusaha
Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh  oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih  tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak. 
Sabda Nabi :-  
خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..
Ertinya : Dua perkara yang  sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan  sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang  bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya  kepada  mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya,  dan  dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya  sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat  At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)
3)      WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU  MENJAGA TINGKAH LAKU.  
Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga  solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan  menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong seseorang  untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.
Namun  apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan  solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan,  "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita  bincang di atas tadi.
Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat  saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi.  Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati  dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar  yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.
Justeru, saya menasihatkan saudari  agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung  atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai  mereka tetapi dari sudut pandangan agama,  saudari sebenanrya adalah sebahagian  dari mereka kerana :  
Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah  sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.
Kedua-duanya tidak bertanggungjawab  terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.
Malah saudari juga patut bersyukur  mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini  yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai  syaitan iaitu seksi. 
Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan,  maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga  berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar  arahan Allah.  
Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa  dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan  ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah  swt.
4)   BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH.?   
Jika bukan sekarang, maka adakah  apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah? Sedarilah wahai diri,  bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur  masih panjang beberapa minggu lagi.
Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab  jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan  Allah.
Moga Allah  membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan  ini.  
Saya juga doakan  saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua  berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net
 
